The full edition coming soon..

The full edition coming soon..





Di sebalik tabir NISE 2011

Aktiviti terbesar anjuran LUMSOC ini semestinya ditunggu setiap tahun semenjak tahun 2008. Pada tahun ini, Nisa Nasheed Extravaganza, NISE telah memasuki tahun keempat dengan membawa tema yang lebih dekat di hati selepas tiga tahun dengan tema yang tidak kurang hebatnya. Alhamdulillah, selepas berfikir dan menimbang tara, akhirnya, Allah telah mengilhamkan sebuah tema yang unik dan sesuai dengan personaliti seorang gadis yang bergelar muslimah iaitu Fragile, yet Resilient ! .
NISE’11 dinaungi dengan gandingan dua penasihat iaitu Mohamed Hanafi dan Norain yang berperanan dalam memerhati dan menasihati kami pihak krew dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil oleh kami. Pada mulanya, kami, Nur Farhani dan Nur Saedah selaku Pengarah dan Naib Pengarah NISE’11 bercadang untuk menampilkan wajah baru NISE dengan pertukaran nama NISE kepada NICE yang membawa moto yang lebih kukuh iaitu information, communication, & entertainment. Namun selepas dipertimbangkan semula dan nasihat dari Encik dan Cik Penasihat, nama NISE dikekalkan atas keunikannya tersendiri dan sudah dikenali ramai selepas tiga tahun diadakan.

Seawal Julai 2010, gerak kerja NISE’11 telah pun bermula dengan pemilihan krew-krew yang bertuah dari kalangan ahli LUMSOC sendiri. Harapan bersama agar NISE’11 dapat digerakkan bersama-sama dengan jayanya, inshaAllah. Kelancaran NISE diuji pada awal gerak kerja NISE’11 dengan kekosongan jawatan setiausaha yang sememangnya diperlukan. Tetapi, Alhamdulillah, Safeera Atira telah sudi untuk menggalas jawatan sebagai setiausaha NISE’11. Posisi Bendahari telah ditawarkan kepada Putri Sheril Ain dan sememangnya pemilihan ini adalah yang terbaik kerana berlatarbelakangkan ilmu kewangan dan ekonomi, akaun NISE’11 mampu dipantau olehnya dan dapat memastikan keadaannya dalam keadaan terkawal.
Berbekalkan pangalaman yang ditimba pada sesi NISE yang lepas, Nur Izzaty telah dipilih untuk menguruskan pemilihan dan keadaan tempat berlangsungnya NISE’11 serta turut memastikan kelancaran perjalanan NISE’11 bersama Shaharizan, pelajar tahun pertama yang dilihat dapat memberikan komitmen yang bersemangat sekali. Tugas mereka ini dikenali sebagai Event Coordinators yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran sebelum, semasa dan ketika berakhirnya hari NISE’11 itu sendiri. Jawatan sebagai AJK Teknikal sekali lagi diisi oleh kehadiran Aminatulmunirah yang sudi untuk bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan NISE pada tahun ini setelah dua tahun berturut-turut menggalas tanggungjawab ini. Rakan setugas, Mafuzah juga dilihat dapat memberikan komitmen yang sangat jitu dan dapat bekerja bersama-sama walaupun baru menjejakkan kaki ke bumi Leeds sebagai pelajar tahun pertama. NISE’11 sungguh bertuah kerana dapat digerakkan dengan seisi komiti NISE’11 yang sangat dedikasi dan bersemangat.

Posisi PR (Public Relation) turut diisi oleh orang yang sama untuk kali kedua selepas berjaya menjalankan tugas ini pada sesi NISE yang lepas iaitu Suryana Fatehah yang berbesar hati untuk tanggungjawab ini bersama Anizatul Azna yang juga merupakan pelajar tahun pertama. Mereka dilihat serasi dan mampu menguruskan hal-hal perhubungan luar ini bersama walaupun diuji dengan masalah komunikasi dari persatuan-persatuan luar yang kadangkala tidak mendapat respon yang diharapkan. Walau apapun, NISE’11 tetap mampu bergerak dengan kesungguhan dari pihak PR berdua ini. Bidang tugas ini turut memerlukan pencarian VIP dan hakim-hakim dan akhirnya dapat diputuskan dalam mesyuarat komiti yang diadakan sebulan sekali. Hakim-hakim yang dilantik adalah Cik Wan Nooraribah Ishak (sekaligus sebagai VIP yang mewakili pihak EM cawangan Manchester), Cik Nur Hidayat Samsudin, dan Pn Ayu Haswida Abu Bakar sebagai hakim yang mengadili pertandingan nasyid manakala untuk pertandingan fotografi dan videografi, ianya diadili oleh En Mohd Ridzuan Atan@Mohamed dan Dr. Radzi Yunus yang sangat pakar dalam bidang ini.
Tugas Performance Officer telah ditawarkan kepada Nor Amilia Farahin dan Azuwa. Skop bidang ini adalah menyediakan terma dan syarat serta pembahagian markah untuk setiap pertandingan yang dianjurkan. Sebanyak tiga jenis kategori yang dipertandingkan iaitu pertandingan nasyid, fotografi dan videografi. Tidak lengkap sesuatu pertandingan tanpa hadiah. Zaidatul Husna telah dilantik untuk menguruskan hadiah-hadiah yang berupa plague dan hamper. Walaupun diuji dengan kelewatan memilih dan memesan plague dari Malaysia, namun Alhamdulillah, semuanya selamat sampai. Paling penting, tahun ini, hadiah hamper semuanya diimport khas dari Malaysia. Kerja membungkus dan membalut bukanlah semudah yang disangka, jadi pelantikan Nur Khairani menjadikan tugas sebagai Prize Officer lebih lancar dan lebih terurus.

Jawatan Food Officer yang walaupun pada awal gerak kerja NISE tidakkelihatan begitu ketara, namun merekalah yang paling bersungguh-sungguh pada hari NISE tersebut. Pasangan Food Officer, Nur Alianie dan Nur Bazilah memastikan perut-perut komiti NISE’11 semuanya diisi dan juga para VIP turut dihidangkan dengan ketulan-ketulan ayam yang besar lagi enak. Selain itu, ditambah dengan bantuan dari pihak sukarelawan dari ahli LUMSOC yang lain menjadikan NISE’11 berjalan dengan lancar sekali.
Pemilihan dan kehadiran mereka dalam komiti NISE’11 adalah sangat-sangat dihargai. Tugas mereka dijalankan dengan penuh bertanggungjawab dan baik sekali dan sekaligus mengukuhkan dana dan kewangan NISE’11 pada tahun ini. Mukhlis, Ainol Suraya, Farah Deena, Shafinaz, Ainul Syahirah dan Ikmal. Gandingan mantap Fundraising team & Sponsorship Officers ini selayaknya diberikan pujian yang terbaik. Walaupun diuji dengan beberapa masalah yang berlaku (ditipu “Ali Rustam” ketika jualan lunch box dan di’halau’ keluar dari Student Union) namun, mereka tetap berdiri tegak dan mampu mengaut keuntungan yang tinggi pada sesi NISE tahun ini. Kesungguhan setiap dari Sponsorship Officers juga tak dilupakan dalam mencari dan meminta sumbangan dari pihak penaja.
Terakhir sekali, tidak dilupakan bidang kerja yang telah bermula seawal bulan Ogos 2010 di Malaysia lagi, ketika cuti musim panas iaitu kerja-kerja merekabentuk button badge oleh Shahremy selaku komiti yang bertanggungjawab dalam Promotion Officers dan juga turut dibantu oleh Raja Nur Faizah dalam merekabentuk poster dan flyer untuk tujuan promosi. Kehadiran Ridzwan yang melengkapkan trio R (Remy, Raja, Ridzwan) menjadikan kerja promosi lebih baik. Hasil tangan Ridzwan yang pantas dalam menghasilkan video promosi NISE’11 sekaligus dapat mempromosikan acara terbesar ini kepada seluruh sahabat Malaysia di seuruh UK dan Ireland.

Setelah berbulan-bulan menanti dan membuat segala pelbagai persiapan, akhirnya pada tanggal 19 Februari 2011, Nisa Nasheed Extravaganza selamat berlangsung dengan jayanya. Pagi yang disambut dengan permaidani putih dari Ilahi dan ketulan-ketulan kristal ais dari langit seakan-akan meraikan lagi NISE’11 pada tahun ini yang membawa tema Fragile yet Resilient, sememangnya tidak mematahkan semangat para peserta dan penyokong yang datang dari segenap tempat. Sebanyak 10 pasukan yang turut serta masuk bertanding dan sesungguhnya setiap dari mereka sememangnya mampu memberikan saingan hebat kepada semua peserta. Dari selatan ke utara, kehadiran mereka sangat-sangat dihargai. Sekalung tahniah diucapkan kepada kalian semua: Wardatul Warwick, Shauqatul Wardah, Iris, Meharunnisa, Lesta Besta, Iklil Najah, Isabella, Aya Sofya, As-Syifa’ dan Soutunnisa’. Penyertaan fotografi dan videografi juga tidak kurang hebatnya, sesungguhnya bakat-bakat mereka tidak disia-siakan dan secara tidak langsung dapat dicungkil melalui dengan adanya NISE ini. Tahniah diucapkan kepada yang berjaya dan teruskan keunikan anugerah bakat yang ada untuk merakam memori dan keindahan nikmat tuhan di muka bumi ini. Walaupun begitu, kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak dan kami dikritik agak hebat dari segi pembahagian markah dan kandungan NISE sendiri yang agak lari dengan mesej utama iaitu pertandingan nasyid. Namun, semuanya itu diambil secara positif untuk penambahbaikan untuk NISE akan datang di masa hadapan dan sememangnya manusia itu ada banyak khilafnya.
Akhirul kalam, jazakumullah khayr katheera atas semuanya dari sekecil-kecil pertolongan yang dihulurkan sehingga sebesar-besar kerjasama yang diberikan. Semoga Allah meredhai setiap apa yang dilakukan dan diharapkan setiap dari kita yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dapat belajar dan terus menyumbang untuk sekeliling, inshaAllah. Juga, maaf dipinta sekiranya ada yang terguris di hati, tersalah perbuatan, terlajak bicara ketika kami seisi ahli komiti NISE 2011 menjalankan tugas dalam memastikan yang terbaik untuk semua.
Wallahua’alam.